Thursday 25 November 2010

Bertunang Hanyalah Alam Transit…

Dalam kalangan masyarakat kini, ramai yang bertunang dalam jangka masa yang lama kerana merasakan diri mereka masih terlalu muda untuk mendirikan rumah tangga.

“Jangan tunggu lama-lama, nanti lama-lama, ia diambil orang.”


Begitulah, antara lain, senikata lagu “Jangan Tunggu Lama-lama” nyanyian kumpulan Sweet Charity yang popular pada tahun 80-an dahulu. Lirik ini menasihatkan para lelaki yang sudah mempunyai kekasih supaya cepat-cepat berkahwin agar kekasihnya itu tidak jatuh ke tangan orang lain. Dalam Islam, perkahwinan perlu dicepatkan bukan kerana bimbang kekasih jatuh ke tangan orang lain, tetapi kerana itulah yang dituntut oleh agama kerana dipercayai perkahwinan dapat menjauhkan manusia dari maksiat.

Banyak sebab mengapa perkahwinan ditangguhkan dan tempoh pertunangan dipanjangkan. Hendak berkahwin banyak halangan, maka rata-ratanya bertunang dahulu agar ikatan terpatri
bersama kekasih hati Di sinilah Islam menggalakkan agar dipercepatkan proses ‘menaiktaraf’ alam pertunangan tersebut. Jangan bertunang lama-lama kerana alam pertunangan hanyalah alam transit. Singah lama-lama di lokasi transit akan hanya mengundang letih, jemu, dan ‘putus bekalan’.

Lantaran itu alam pertunangan ialah alam berkembang dalam kawalan. Perkembangan mesti digalakkan, namun kawalan mesti diutamakan. Jika lemah kawalan, segeralah menghapuskan had batasan dengan melangsungkan perkahwinan. Hukum Allah swt sentiasa yang paling utama. Oleh itu apa yang boleh dilaksanakan semasa di alam pertunangan yang terbatas ini ialah kedua-duanya harus sentiasa berbaik sangka dalam berfikir dan juga berbicara. Buangkan segala prasangka buruk yang merugikan lagi melalaikan. Ada yang berpendapat pertunangan adalah satu proses berkomunikasi. Tidak salah berkomunikasi jika tujuannya betul.

Komunikasi, seperti yang kita sedia maklum adalah sunnatullah. Perbincangan mengenai hal-hal seperti tempoh pertunangan, urusan perkahwinan, perancangan tempat tinggal selepas perkahwinan, malah isu-isu sensitif seperti perancangan anak, semua itu adalah perlu. Jika tiada komunikasi, tentu keperluan-keperluan ini sama ada akan diabaikan, atau dibina atas andaian dan sangkaan masing-masing saja. Ikatan pertunangan bukan sebagai kebenaran membolehkan lelaki dan perempuan bergaul bebas.

Lelaki dan perempuan yang bertunang masih terikat dengan hukum halal dan haram seperti hubungan bukan muhrim. Ibu bapa perlu mengawal anak perempuan yang bertunang agar tidak bergaul bebas dengan tunang. Alasan bahawa mereka akan berkahwin selepas itu bukanlah bermakna semuanya sudah boleh dilakukan seperti pasangan berkahwin. Ikatan pertunangan hanya satu perjanjian antara lelaki dan perempuan yang setuju menjadi suami isteri pada masa akan datang. Ibu bapa yang membiarkan anak mereka bebas bergaul dengan tunang akan menanggung perbuatan dosa yang dilakukan anaknya. Oleh itu, perkahwinan wajar disegerakan. Lebih awal berkahwin, lebih cepat merasai dan mendapat apa-apa yang diharapkan melalui perkahwinan. Kebahagiaan hidup berkeluarga adalah sebahagian daripada nikmat yang Allah janjikan dalam hubungan lelaki dan perempuan.

No comments: